Perlumbaan basikal Cyclocross kini diadakan di Malaysia

KUALA LUMPUR: Saingan Cyclocross atau lebih dikenali dengan nama singkatan CX bakal dianjurkan di Malaysia buat julung kalinya, membabitkan tiga siri perlumbaan tempatan dan diakhiri satu saingan peringkat antarabangsa.

Perlumbaan berbasikal yang unik dan mencabar ini dianjurkan Persatuan Rakan Promosi Pelancongan Malaysia dan badan induk berbasikal negara, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dengan membabitkan enam kategori.

Ketua Pegawai Operasi Cyclocross, Mohd Amrin Zairy Adham, CX adalah satu saingan gabungan membabitkan tiga disiplin utama berbasikal dalam satu masa iaitu basikal bukit, basikal lebuhraya dan merentas halangan.

“Umumnya, CX lebih dianjurkan di negara barat seperti di Eropah dan Amerika Syarikat sekitar bulan Oktober hingga Februari setiap tahun mengikut kalendar pertandingan dalam siri dunia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

“Bagaimanapun, kali ini komuniti CX di Malaysia berpeluang mempamerkan kemahiran dan kemampuan masing-masing dengan menyertai tiga siri perlumbaan di Perak, Putrajaya dan Pahang.

“Peminat sukan berbasikal juga boleh merasai bahang kehangatan dan keseronokan dalam menyaksikan pelumba mengerah keringat mengharungi halangan yang direka khas di dalam litar.

“Ia merangkumi halangan semula jadi, bentuk permukaan muka bumi serta laluan teknikal yang pastinya mencabar, memberi kepuasan serta pengalaman unik kepada peserta dan juga penonton,” kata Amrin dalam satu kenyataan.

Amrin berkata, dengan penganjuran tiga siri utama kejohanan ini, ia bakal membuka peluang kepada pelumba tempatan dan antarabangsa untuk mengambil bahagian selain menjadi satu acara promosi kepada sektor pelancongan melalui sukan di Malaysia khususnya pelancongan negeri yang menjadi tuan rumah.

“Siri 1 bakal diadakan pada 22 dan 23 Oktober ini di Gunung Lang, Ipoh, manakala Siri 2 pula dijalankan pada 26 dan 27 November di Padang Semarak, Wetland, Putrajaya dan Siri 3 dan Grand Final berlangsung pada 17 Disember.

“Pada masa sama, bagi mempertengahkan penganjuran Cyclocross ini diperingkat antarabangsa, satu saingan khusus di peringkat antarabangsa akan dianjurkan iaitu Malaysia International Cyclocross Championship yang akan berlangsung pada 18 Disember 2022 juga di Taman Awam Bera.

“Kejohanan ini terbuka kepada semua (tempatan & antarabangsa) mengikut umur dan kategori dipertandingkan. Pendaftaran boleh dibuat secara atas talian menerusi portal yang dilantik.

“Tempat adalah terhad bagi setiap kategori acara. Bagi acara perintis ini, hanya 1,000 penyertaan sahaja dibuka untuk setiap siri penganjuran. Peserta boleh mendaftar mengikut siri atau pun mendaftar terus bagi ketiga-tiga siri kejohanan,” katanya.

Antara kategori yang dipertandingkan ialah Lelaki Bawah 23 tahun, Lelaki Terbuka, Lelaki Master, Wanita Terbuka dan dua acara khas MTB Terbuka Lelaki serta MTB Terbuka Wanita.

“Bagi setiap siri kejohanan, 20 peserta teratas akan memperolehi mata kemenangan bagi melayakkan diri untuk menyertai acara utama di Grand Final. Kelayakan peserta bagi menyertai acara utama ini adalah ditentukan oleh pungutan tertinggi mata peserta. Pengumpulan mata boleh diperolehi melalui penyertaan setiap siri yang dipertandingkan.

“Hadiah wang tunai keseluruhan bagi setiap siri perlumbaan berjumlah RM11,500 manakala untuk Grand Final pula RM30,000. Pemenang juga bakal merangkul jersi utama kejohanan bagi setiap kategori yang dipertandingkan” kata Amrin.

This article was first published in Berita Harian.

About Me

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit. Ut elit tellus, luctus nec ullamcorper mattis, pulvinar dapibus leo.

Newsletter

Follow Us

Scroll to Top